Selasa, 16 September 2008

DARI TARBIAH DPP PAHANG

Bekalan Tarbawi Hadapi Tribulasi Masakini – Siri 1



Alhamdulillah, kita boleh menarik nafas lega apabila isu muzakarah-muqabalah sudah semakin jelas dengan kenyataan bertanggungjawab dari kesemua pimpinan yang kita sayangi dan thiqahi. Kali ini saya ingin berkongsi dengan semua pembaca beberapa tips atau panduan dalam menghadapi isu seumpama ini. Tulisan berkaitan ini akan saya paparkan secara bersiri dengan tajuk yang sama.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa untuk apa dibangkitkan tips ini sedangkan isu sudah semakin berakhir. Jawapan saya ialah, isu ini hanya merupakan sekeping duri yang menyakitkan kita. Di sana dalam perjalanan panjang perjuang kita ada lagi banyak duri-duri yang akan kita tempuhi, samada kita berjaya mengelaknya dengan bijaksana atau kaki kita akan tercucuk berulang kali lagi. Tips ini terpakai untuk menghadapi liku-liku dan duri di sepanjang perjuangan, insyaAllah.

Firman Allah Subhanahu wa Taala :

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya ; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (para pemimpin) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” [Surah An-Nisa’: 83]

Alangkah indahnya panduan Allah s.w.t. di dalam ayat di atas kepada kita. Membacanya menyebabkan mulut orang-orang yang beriman akan melafazkan subhanalLah! Tabiat dan perangai manusia akan sentiasa berulang di sepanjang sejarah kemanusiaan. Tribulasi dalam bentuk propaganda adalah reality yang telah dihadapi oleh generasi awal dan ia juga akan terus berulang selagi ada yang bernama manusia. Maha Bijaksana Allah yang mencipta manusia, tabiat dan sikap, sunnah dalam perjalanan perjuangan serta panduan yang jelas dalam menghadapinya.

Pengajaran dari ayat tersebut secara ringkasnya ialah :

1. Kita dari kalangan penyokong, ahli, pendokong, penggerak atau pimpinan peringkat bawahan kumpulan Islam tidak sepatutnya melatah, terlalu cepat mengeluarkan kenyataan, memberi komentar atau segera menyebarkan sesuatu isu yang berlaku melibatkan kepentingan jamaah kita.

2. Kita sewajibnya merujuk kepada pimpinan tertinggi atau menunggu kenyataan rasmi pimpinan dalam isu-isu seumpama ini. Kenyataan rasmi kepimpinan tertinggi yang disokong oleh badan tertinggi (majlis syura ulama’) adalah menjadi sikap dan pendirian kita. Ulasan dan komentar kita setelah dari itu mesti selari dan dipastikan tidak bercanggah dengan kenyataan rasmi tersebut walaupun berbeza dengan pandangan kita secara peribadi!

3. Kita wajib bermuhasabah dengan apa yang berlaku. Jauhnya sikap dan tindakan kita berbanding panduan nas Al-Quran tersebut. Ada yang bermulut lancang meremehkan Tuan Guru Presiden, Tok Guru Mursyidul Am, Ust Nasa, Dato Mustafa Ali dan lain-lainnya. Saya cuba bersangka baik bahawa yang sewenang-wenang menulis, memberi komentar tidak berakhlak dan membuat tuduhan tersebut bukanlah ahli yang ditarbiyah. Kemungkinan ahli yang baru masuk, penyokong semasa atau provokator yang ingin memecahkan kesatuan kita. Cuma, saya bimbang sekiranya ahli yang ditarbiyah juga turut terlatah...

Mari Bersama Perkasakan Tarbiyah!

bersambung ke siri 2…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

blogger templates | Make Money Online